Mitos Tentang Kesihatan Mental

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Antara faktor yang mempengaruhi seseorang menghidap penyakit mental adalah faktor genetik atau keturunan, gangguan bahan kimia dalam otak seperti serotonin, dopamin atau fungsi noradrenalin, jangkitan virus, sejarah hidup dan keadaan sosio-ekonomi.

Pesakit mental sering berhadapan dengan stigma masyarakat yang sering membuatkan keadaan penghidap penyakit mental menjadi lebih teruk. Ini kerana masyarakat masih tidak terbuka untuk menerima penyakit mental ini sebagai sebuah penyakit yang perlu dirawat dan menganggap penyakit mental ini sebagai taboo.



Berikut ini antara mitos yang dikongsikan Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari dan masih menjadi kepercayaan masyarakat masa kini.


1. Pesakit mental berbahaya dan ganas

Tidak dinafikan, pesakit mental ibarat bom yang meletup dan bertindak di luar jangkaan atau kawalan yang menggambarkan mereka adalah ganas dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau membunuh.


Hakikatnya, majoriti jenayah dalam masyarakat hari ini dilakukan individu normal manakala purata pesakit mental terlibat dengan keganasan adalah jauh lebih rendah.
Perit untuk diungkap namun pesakit mental sebenarnya adalah golongan yang kerap menjadi mangsa keganasan individu-individu tidak bertanggungjawab.


2. Penyakit mental tidak boleh dirawat


Dengan perkembangan teknologi dan pelbagai kajian dibuat, penyakit mental boleh dirawat dan ia didapati berkesan. Pelbagai ubat-ubatan telah dihasilkan bagi merawat penyakit mental.
Selain ubat-ubatan, bantuan berbentuk sokongan sosial (let's talk) daripada keluarga, rakan-rakan dan majikan adalah sangat membantu.
Anda mungkin boleh menjadi pendengar yang baik sekiranya mereka berkongsi masalah atau emosi tanpa menilainya.
Jika pesakit ada menyatakan untuk membunuh diri, anda boleh menasihati mereka untuk merujuk kepada kaunselor atau pihak yang bertauliah.








3. Tindakan pesakit mental hanya untuk mendapatkan perhatian (attention seeker)


Jika anda mempunyai tanggapan seseorang itu bertindak untuk mendapatkan perhatian atau mengada-ngada, anda silap! Ia sebaliknya adalah amaran bahaya individu ini memerlukan bantuan. 
Kemurungan akan membuatkan seseorang itu rasa dirinya tidak berguna, tidak dihargai, diulit rasa bersalah tanpa sebab tertentu dan akhirnya mampu membawa kepada gelaja bunuh diri.

Tanggapan seperti ini membuatkan pesakit mental memilih untuk berdiam diri dan berpura-pura untuk bahagia sehingga menyebabkan kematian mereka seperti Chester Bennington, Goo Hara dan ramai lagi.




4. Penyakit mental disebabkan sihir/ilmu hitam


Tidak dinafikan, pesakit mental skizofrenia akan mengalami gangguan suara dan bayangan yang muncul di hadapan mereka. Hakikatnya, penyakit mental merupakan penyakit psikologi, di mana simptomnya tidak dapat dilihat oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang ini. Situasi itu menyebabkan mitos penyakit mental disebabkan sihir sukar dihakis dan masih popular dalam masyarakat masa kini.

Dari segi kajian perubatan, penyakit mental berpunca daripada ketidakseimbangan unsur kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter. Jika kimia yang membantu sel saraf berkomunikasi dengan otak ini terjejas, ia menyebabkan berlakunya pelbagai kemungkinan termasuk gejala penyakit mental. Lalu tidak mustahil pesakit skizofrenia mengalami gangguan suara atau halusinasi akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan manusia normal (delusi).

Lebih menyedihkan apabila ahli keluarga yang memiliki kepercayaan karut ini lebih memilih untuk mencuba perubatan tradisional seperti berjumpa pawang dan hanya menerima rawatan di hospital apabila keadaan pesakit di tahap kronik.






Sumber :Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, 
https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2019/04/24/pesakit-mental 







Comments

Popular posts from this blog

Media Sosial Dalam Kalangan Remaja

Penyakit Kucing Yang Perlu Diperhatikan

Mitos Vaksin